Dua Kru Kapal Korek Ditemui Selepas 55 Jam

MUAR: Dua daripada 14 kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang terbalik di perairan Parit Jawa di sini, pagi kelmarin, berjaya diselamatkan sepasukan penyelam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas kira-kira 55 jam terperangkap dalam kapal berkenaan.

Kedua-dua kru lelaki warga China yang masih belum dikenal pasti identitinya itu, masing-masing ditemui pasukan penyelam antara jam 2 petang hingga 2.30 petang tadi di kawasan bilik enjin kapal terbabit yang digenangi air tetapi mempunyai ruang udara mencukupi untuk pernafasan.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof, berkata operasi hari ini memasuki hari ketiga yang juga fasa kritikal dalam operasi SAR dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal terbabit.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan dibawa ke atas kira-kira jam 2 petang tadi, manakala mangsa kedua kira-kira setengah jam kemudian.

“Pasukan paramedik kemudian membuat pemeriksaan awal dan mereka dibawa ke Jeti Nelayan Parit Jawa, sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua mangsa ditemui di kawasan bilik enjin yang sama iaitu dek ke empat di bawah kapal dan terapung dalam bahagian ruangan berkenaan.

“Masih terdapat ruang udara dan mereka dapat bernafas serta bertahan,” katanya pada sidang media di pusat operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, hari ini.

Sanifah berkata, kedua-dua mangsa dalam keadaan lemah kerana berendam tetapi dilaporkan stabil dan pihaknya berusaha menyelamatkan 12 mangsa lain.

“Operasi menyelam masih diteruskan dan kita melakukan pemeriksaan di ruang lain, selain bilik enjin. Kita berharap masih ada mangsa selamat dan sentiasa melipat gandakan usaha pasukan SAR.

“Selain itu, kami tidak menolak kemungkinan menemui mangsa lain berdasarkan bunyi ketukan pada dinding kapal yang masih kedengaran.

“Kami membuat pemeriksaan bunyi ketukan di bahagian lain kerana kapal itu luas dan memang ada ketukan di bilik enjin tempat dua mangsa ditemui.

“Selain itu, kami juga mendengar bunyi ketukan di tempat lain tetapi disebabkan kapal ini besar, kadang kala apabila kita ketuk akan bergema,” katanya.

Sanifah berkata, berikutan penemuan positif itu, pihaknya yakin pilihan menggunakan penyelam adalah kaedah terbaik berbanding menebuk dinding kapal.

“Kami sentiasa mengepam udara dalam kapal dan tidak tebuk dinding kapal, buat masa ini kami hanya menyelam dalam kapal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr Noorhaida Ujang, berkata mengikut laporan paramedik keadaan mangsa stabil tetapi lemah disebabkan dehidrasi dan berada dalam air melebihi 48 jam.

Mangsa pertama tiba di Jeti Nelayan Parit Jawa pada jam 2.40 petang, manakala mangsa kedua tiba pada jam 3 petang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.