Laluan Ditutup Sempena LTDL 2018

KUALA LUMPUR: Beberapa laluan utama sekitar ibu kota akan ditutup sempena perlumbaan akhir Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018, lusa.

Antara laluan terbabit ialah jalan di Kampung Cheras Baru, Jalan Kuari, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Cheras, Jalan Tun HS Lee dan Jalan Kinabalu.

Selain itu, laluan sekitar Masjid Negara, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja, Dataran Merdeka, Leboh Pasar Besar, Jalan Hang Lekiu, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan P Ramlee dan Jalan Ampang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kesemua jalan itu akan ditutup kepada lalu lintas bermula jam 1.30 tengah hari lusa.

Katanya, laluan berkenaan akan dibuka semula kepada lalu lintas secara berperingkat sekitar jam 4 petang.

“Perlumbaan akhir LTDL 2018 yang bermula di Rembau, Negeri Sembilan, akan memasuki ibu negara sekitar jam 2 petang Ahad ini.

“Justeru, bagi memastikan kelancaran siri akhir perlumbaan itu, beberapa laluan akan ditutup kepada lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Zulkefly menasihati orang ramai agar merancang perjalanan pada hari berkenaan dengan menggunakan jalan alternatif atau pengangkutan awam sedia ada untuk memasuki ibu negara.

“Sepanjang berlangsung perlumbaan akhir LTDL 2018, kita akan menempatkan anggota trafik bagi mengawal lalu lintas.

“Kita berharap orang ramai dapat mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan daripada anggota trafik bertugas pada hari itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.