Nekad Bersara, Altimet Diintai Syarikat Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Susulan kenyataannya yang berhasrat meninggalkan kerjaya nyanyian apabila mencecah usia 40 tahun pada 27 November depan, Altimet menerima tawaran menyertai sebuah syarikat rakaman antarabangsa sebagai Pengurus Artis & Repertoire (A&R).

Altimet yang turut menyerlah di pentas teater apabila memberikan lakonan berkesan dalam pementasan Ola Bola The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini mengakui, tidak keberatan menggalas peranan baharu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Amboi itu berkata, tawaran yang diberikan itu masih di peringkat perbincangan dan belum ada hitam putih.

“Saya perlu menilai perancangan masa depan label terbabit. Jika saya lihat ia memenuhi apa yang saya cari, mengapa saya harus menolaknya?

“Jiwa saya terhadap muzik masih tebal, jadi saya cuba manfaatkan pengalaman yang ada untuk membantu menaikkan industri muzik.

“Begitu juga dengan kerjaya lakonan, saya tidak akan menolak jika tawaran diberikan menarik. Saya ingin mencuba watak antagonis. Namun, keghairahan saya terhadap lakonan tidak sama seperti kecintaan terhadap muzik,” katanya.

Muncul dengan single terbaru, Mambang yang dilancarkan pada 26 Februari lalu, Altimet turut merancang memperkenalkan sebuah lagi single iaitu Hutang sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

“Mungkin ada yang bertanya, mengapa jarak untuk mempromosikan Mambang dan Hutang begitu dekat? Berbanding single terdahulu, saya tidak begitu yakin Mambang mampu menarik perhatian stesen radio.

“Justeru, saya cuba perkenalkan Hutang dan insya-Allah, sebelum November beberapa lagu lagi akan menyusul. Saya juga akan muncul dengan dua album, masing-masing menemui peminat pada akhir bulan ini dan November nanti,” katanya.

Sebelum bersara, Altimet juga berhasrat untuk menjayakan beberapa siri persembahan jelajah sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diterimanya selama ini.

“Saya merancang persembahan berskala kecil dan eksklusif. Mungkin juga satu daripadanya akan berlangsung dalam skala besar. Saya berharap apa yang dirancang ini akan menjadi kenyataan nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.