Penduduk Dengkil Dapat Klinik Kesihatan Baharu

PUTRAJAYA: Penduduk di sekitar Dengkil bakal mendapat klinik kesihatan baharu yang akan menggantikan Klinik Kesihatan Dengkil sedia ada, sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai ketika mendapatkan rawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif, berkata perkara itu sudah diajukan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang turut turun padang untuk melihat sendiri keadaan klinik kesihatan berkenaan.

“Beliau (Dr Hilmi) berjanji dan berusaha memasukkan projek (klinik kesihatan baharu bagi Dengkil) dalam bajet tahun depan dalam Rolling Plan Ke-4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Justeru, tahun depan ia nak dijadikan keutamaan,” katanya kepada NSTP.

Shahrum berkata, selain masalah tempat letak kereta, keperluan klinik kesihatan baharu itu bagi menampung kehadiran orang ramai untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, masalah lain termasuk keadaan klinik yang dengan penyaman udara rosak menyebabkan panas, lebih-lebih lagi ketika jumlah kehadiran pesakit yang ramai untuk menunggu giliran berjumpa doktor.

Dalam pada itu, beliau berkata, tapak bagi pembinaan klinik kesihatan baharu sudah dicadangkan dan ia terletak berdekatan Desa Timah Langat, Dengkil seluas kira-kira lima ekar.

“Timbalan Menteri Kesihatan melihat sendiri tapak berkenaan dan ia sebenarnya milik Kementerian Kesihatan memandangkan bayaran premium sudah dibuat. Saya akan buat susulan dengan Kementerian Kesihatan atau Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri berhubung bajet berkenaan supaya dapat dimasukkan sekurang-kurangnya awal tahun depan.

“Kita berharap dan berdoa ia menjadi kenyataan untuk penduduk Dengkil bagi mendapatkan khidmat di klinik kesihatan kerajaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.