Polis Tembak Mati Lelaki Pegang iPhone

WASHINGTON: Polis di Sacramento, California menembak mati seorang bapa dua anak berketurunan Afrika Amerika di belakang rumah datuknya kerana bimbang beliau membawa senjata. Sebenarnya, mangsa hanya memegang iPhone.

Rakaman kamera badan dan helikopter pemantau yang diterbitkan lewat semalam menunjukkan bagaimana polis mengejar dan kemudian melepaskan 20 das tembakan ke arah Stephon Clark sehingga menyebabkan beliau mati di tempat kejadian.

“Kami faham insiden ini amat besar dan kesannya terhadap komuniti kita. Kami komited dalam menyampaikan maklumat segera dan berkomunikasi secara terbuka dengan masyarakat,” kata Jabatan Polis Secramento susulan insiden itu.

Insiden itu berlaku susulan satu panggilan kecemasan 911 pada lewat Ahad lalu yang menyatakan seorang lelaki memecahkan tingkat kereta di kejiranan terbabit.

Clark, 22, yang dilihat menyamai profil suspek dan polis mengejar beliau dengan sokongan sebuah helikopter lengkap dengan kamera infra merah.

Pegawai yang terbabit dalam insiden tembakan itu sudah diberikan cuti untuk siasatan.

Insiden itu adalah tembakan terbaharu membabitkan perdebatan mengenai salah laku polis terhadap warga Afrika Amerika yang mewakili sebahagian besar jumlah suspek dibunuh pihak berkuasa setiap tahun. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.