Sah Mazlan Aliman Ditahan

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan penahanan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) yang juga Anggota Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah), Mazlan Aliman di rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulai, kira-kira 1.30 pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamaluddin Kassim berkata Mazlan, 52, ditahan untuk  membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan (Mazlan) dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan dan akan diserahkan kepada pihak Polis Unit Siasatan Khas Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan, di sini, Khamis.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan pada tengah hari Khamis memberitahu penahanan Mazlan itu dipercayai bersangkut paut dengan laporan polis dibuat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerusi peguamnya, Noor Hajran Mohd Noor di IPD Sentul, Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Laporan polis itu dibuat Rosmah susulan sebuah video yang dimuat naik dalam YouTube bertajuk ‘Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon yg Lingkup’.

Video itu, menurut peguam Rosmah, telah menjejaskan reputasi dan integriti anak guamnya kerana secara terang-terangan menuduh  Rosmah terbabit dalam projek penternakan ikan Sturgeon. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.