BR1M Bukti Kerajaan Beri Perhatian Khusus Kepada Golongan Berpendapatan Rendah

TENOM – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan rakyat berpendapatan rendah diberi perhatian khusus oleh kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pembanguan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh.

Katanya ia juga membuktikan kerajaan sentiasa menghargai sokongan, peranan serta sumbangan rakyat dalam pembangunan negara di negeri ini khususnya di Tenom.

“Berdasarkan bajet kerajaan persekutuan dan negeri bagi 2018, kerajaan telah menyediakan banyak peruntukan untuk mensejahterakan rakyat,” katanya pada majlis penyerahan BR1M, di sini hari ini.

Radin berkata kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha memastikan nasib rakyat, khususnya mereka yang miskin dan berpendapatan rendah terbela dan mendapat kesamarataan.

“Untuk BR1M sahaja, pada tahun 2018 kerajaan BN menyediakan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion dan seramai tujuh juta rakyat mendapat manfaat daripadanya…RM600 juta daripadanya untuk rakyat di Sabah, ” katanya menambah rakyat harus bersyukur kerana kerajaan benar-benar perihatin dan peka dengan keperluan mereka. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.