Gembira Dapat Pulang Ke Tanah Air

SEPANG: “Gembira dapat pulang ke Malaysia dan pada masa sama, sedih apabila teringatkan yang saya tidak dengar cakap mak sebelum ini,” kata mangsa sindiket dadah antarabangsa, Nor Suzanna Azmi, 36.

Wanita itu ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, selepas tiba dari Lima, Peru, hasil usaha Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan BH, dengan bantuan serta kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

Beliau pulang ke tanah air bersama suami, warga Peru, Garlin Lever Quispe Sanchez serta dua anak lelaki, Muhammad Duler Akasyah Salas Azmi dan Garlin Junior Quispe Azmi @ Huzaifah.

Terdahulu, Nor Suzanna tidak dapat menahan tangisan sebaik bertemu ibunya, Nor Liana Maarof, 58 dan kedua-duanya berpelukan melepaskan kerinduan selepas kira-kira 12 tahun terpisah.

Dalam pertemuan itu, hajat Nor Suzanna untuk menikmati pulut kuning bersama sambal ikan bilis turut tercapai apabila ibunya membawakan makanan berkenaan dan disuapkan ke mulut wanita itu.

Menceritakan pengalamannya di negara orang, Nor Suzanna menyifatkan kehidupannya sangat perit, sekali gus menasihatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa.

“Peritl… janganlah buat. Saya bernasib baik sebab BiKUM bawa balik ke Malaysia dan kalau nasib tidak baik, memang saya terkandas di sana.

“Sebelum buat apa-apa, fikir dulu kerana tidak semua tawaran yang mereka sediakan itu percuma 100 peratus. Setiap apa yang diberi, ada balasannya.

“Nasib baik saya terkandas di Peru dan jika berlaku di negara lain, mungkin saya sudah tidak bernyawa. Jadi, sebelum buat keputusan, lebih baik fikir sedalam-dalamnya,” katanya.

Ketibaan Nor Suzanna turut disambut Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Turut dibawa pulang ialah seorang lagi mangsa, Noor Azimah Sapie, 38, bersama anak perempuannya, Qistina Maisara Alarcon Sapie, 8.

Suaminya yang juga warga Peru, Emilio Ignacio Alarcon Leon @Osman, 41, tidak bersama dan akan menyusul kemudian.

“Pengalaman duduk negara orang memang perit dan sakit. Saya juga bernasib baik bertemu suami yang boleh menjaga saya dan dua anak,” katanya.

Sementara itu, Nor Liana menyifatkan pertemuan dengan anaknya ibarat dalam mimpi dan perasaannya bercampur-baur antara gembira dan sedih.

“Sejak dia ditahan, kami melakukan pelbagai usaha, termasuk memohon bantuan daripada UMNO untuk menyelesaikan masalah dihadapi Nor Suzanna.

“Setiap kali selepas solat, saya berdoa semoga ada hamba Allah yang dapat menyelesaikan masalah dihadapi kami. Mungkin rezeki anak saya apabila dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sana pada 2016,” katanya.

Mengimbau kisah lalu, Nor Liana berkata, sebelum berlepas ke Peru, Nor Suzanna bekerja sebagi pembantu di Downtown Cheras.

“Dia bekerja membantu perniagaan di situ dan suatu hari, dia memaklumkan mahu pergi ke luar negara kerana menerima tawaran daripada rakannya.

“Saya tidak benarkan dia menerima tawaran itu, malah saya memberitahunya supaya berhati-hati kerana bimbang ditipu. Bagaimanapun, dia tiba-tiba hilang, puas kami cari dan akhirnya kami menerima berita dia ditahan di Peru,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.