Najib Bawa ‘Buah Tangan’ Kepada Penduduk Paya Besar

KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ‘buah tangan’ istimewa kepada penduduk Parlimen Paya Besar sempena kunjungannya ke Felda Lepar Hilir 1 di sini, hari ini.

‘Buah tangan’ itu juga meliputi insentif kepada peneroka Felda sekitar Paya Besar, yang merupakan penyokong setia dan tegar Barisan Nasional (BN), sekali gus membolehkan BN menang kesemua empat kerusi dalam kawasan berkenaan pada pilihan raya umum lalu.

Najib berkata insentif pertama beliau ialah skim khas tanam semula Felda kepada 157 peneroka melibatkan peruntukan sebanyak RM631,821 dan pembayaran insentif sifar hutang kepada 567 peneroka yang berjumlah RM2.85 juta.

“…dalam semangat keluarga Paya Besar kita juga meraikan kembalinya 362 peneroka yang kembali bermuafakat dengan Felda melibatkan bayaran insentif sebanyak RM1.81 juta.

“Mereka ini dahulunya keluar dan tidak mahu berurusan dengan Felda tetapi mengambil keputusan untuk kembali. Ini beri petanda yang baik kerana yakin kepada Felda bermaksud yakin kepada kerajaan,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra di Parlimen Paya Besar di Padang Awam Felda Lepar Hilir 1 di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang juga pemangku Ketua Bahagian UMNO Paya Besar.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa Felda kini dalam penelitian akhir untuk menggagihkan lot tanah kepada generasi kedua dan ketiga bagi membolehkan mereka mendirikan rumah di tanah milik ibu bapa mereka.

“Kita akan mula agih tanah lot ini yang dijangka dapat dimulakan pada 1 April dan dibuat dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Selain itu, Najib juga mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk pembinaan masjid Lepar Hilir, pemasangan lampu jalan di laluan masuk Felda Bukit Sagu (RM2 juta) dan pembesaran laluan masuk ke Felda Hilir Lepar 1 melalui Pulau Manis yang dianggap jalan maut (RM4 juta) serta pemasangan lampu jalan ke Felda Panching.

Pada majlis itu, Najib turut menunaikan hasrat beliau untuk mengadakan majlis tahlil kepada dua pemimpin UMNO Paya Besar iaitu Ketua Bahagian, Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia pada 12 Feb lalu dan ADUN Lepar, Datuk Mohd Shohaimi yang meninggal dunia pada 31 Dis lalu.

Majlis itu diketuai Kadi Daerah Maran, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.

“Ini sebagai menghargai sumbangan, jasa dan budi mereka kepada kita. Kita juga akan meneruskan perjuangan mereka,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.