Nasib Malang Timpa Izam, Idil Di Portugal

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara yang beraksi dalam Kejuaraan Remaja Dunia CEV 2018 di Portugal, Muhammad Izam Ikmal dan Idil Fitri Mahadi ditimpa nasib malang  pada penampilan pertama mereka di pentas Eropah.

Pelumba PETRONAS Sprinta SIC Junior itu mengalami kecederaan dengan Izam cedera di bahagian jari sehingga memerlukan pembedahan manakala Idil Fitri terpaksa melupakan perlumbaan hari ini selepas terseliuh kaki ketika sesi kelayakan.

“Pada Khamis ketika sesi latihan bebas kedua, saya terjatuh dan mengalami kecederaan di jari sebelah kiri dan saya dibawa ke hospital pada hari sama untuk menjalani pembedahan.

“Proses pemulihan mungkin mengambil masa empat minggu dan saya hanya boleh kembali beraksi di pusingan seterusnya di Valencia nanti,” kata Izam yang masih berusia 15 tahun.

“Terima kasih kepada pasukan kerana berusaha keras untuk menyiapkan jentera, saya akan cuba pulih dengan secepat mungkin dan kembali kepada rutin latihan sekali gus mempersiapkan diri untuk perlumbaan di Valencia.”

Sementara itu, Idil Fitri yang terjatuh pada sesi kelayakan kedua Moto3 terpaksa melupakan perlumbaan selepas kakinya terseliuh.

Namun, insiden itu tidak mematahkan semangat pelumba berusia 15 tahun itu yang tetap optimis untuk memberikan yang terbaik pada perlumbaan di Sirkit Ricardo Tormo, Valencia, 29 April ini.

“Saya gembira kerana dapat menghabiskan sesi latihan bebas pertama dan kedua. Saya memohon maaf kepada pasukan kerana tak boleh berlumba kerana kaki kiri terseliuh dan tak boleh menghabiskan perlumbaan di Portugal ini,” kata Idil Fitri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.