‘Tiada Permit, Terpaksa Berkurung Dalam Rumah’

SEPANG: Tiada lagi episod hidup dalam ketakutan bimbang ditangkap pihak berkuasa, malah dia kini tidak perlu ‘berkurung’ dalam rumah menempuh kehidupan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara orang.

Itu keadaan dialami wanita mangsa sindiket dadah antarabangsa, Noor Azimah Sapie, 38, selepas selamat kembali ke tanah air hasil usaha Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan BH dengan bantuan serta kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

Noor Azimah selamat tiba ke tanah air bersama anak perempuannya, Qistina Maisara Alarcon Sapie, 8, hasil perkahwinan dengan suaminya yang juga warga Peru, Emilio Ignacio Alarcon Leon @ Osman, 41.

Menceritakan detik hitam menimpanya, Noor Azimah berkata, ketika berada di negara orang, dia tidak berani keluar rumah kerana bimbang ditahan pihak berkuasa, sebaliknya hanya bergantung harap kepada suami.

“Saya tidak ada permit dan jika bertembung dengan polis, saya sanggup lari jauh.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana suami banyak membantu, malah dia sanggup melakukan apa saja bagi menyelesaikan masalah dihadapi memandangkan saya sebatang kara di negara orang.

“Sebelum ini, suami juga banyak berkorban termasuk membayar visa saya di Peru. Saya hanya berkurung di rumah, nak keluar takut ditahan, malah saya nak cakap dengan penduduk di situ pun tidak pandai sangat,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Selain Noor Azimah, seorang lagi mangsa sindiket dadah yang selamat tiba ke tanah air, Nor Suzanna Azmi, 36, bersama suaminya yang juga warga Peru, Garlin Lever Quispe Sanchez serta dua anak lelaki, Muhammad Duler Akasyah Salas Azmi dan Garlin Junior Quispe Azmi @ Huzaifah.

Ketibaan mereka disambut ahli keluarga dan Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Noor Azimah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dan membawanya pulang ke tanah air bersama anak perempuannya.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, BiKUM, Kedutaan Malaysia di Peru dan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman yang turut bersama membantu kami sehingga berjaya pulang ke Malaysia.

“Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun terkandas di sana, saya gembira dapat pulang ke tanah air bertemu keluarga,” katanya.

Sementara itu, abang Noor Azimah, Mohd Fadil, 45, berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka dapat bertemu semula adiknya selepas mencuba pelbagai usaha termasuk mengadu masalah dihadapi kepada Wisma Putra.

“Masalah dokumentasi, selain pasport adik yang sudah tamat tempoh dan jika mahu menguruskannya memerlukan belanja besar, jadi kami hanya mampu berharap keajaiban akan berlaku.

“Apabila saya diberitahu adik yang dia dapat berjumpa Perdana Menteri pada 2016, saya berasa bersyukur dan berdoa masalah dihadapinya dapat diselesaikan,” katanya.

Mohd Fadil berkata, ibu mereka tidak dapat hadir ke KLIA dan memaklumkan, sepanjang ketiadaan Noor Azimah, ibunya sering bersedih.

“Ibu sangat sedih selepas adik terkandas di Peru, lebih-lebih Noor Azimah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami.

“Saya sering berdoa semoga Allah memanjangkan usia adik, diberi kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki dapat pulang ke Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.