Buat Kacau Depan Balai, 6 Ditahan

PADAWAN: Polis menahan enam lelaki yang disyaki terbabit membuat kecoh di depan Balai Polis Batu 10, di sini, pada malam Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata mereka yang berumur antara 20 hingga 27 tahun ditahan di beberapa lokasi di sini, malam tadi.

Mereka dipercayai dari dua kumpulan yang membuat kecoh ketika datang ke Balai Polis Batu 10 untuk membuat laporan berhubung kejadian merosakkan kereta di Pasaraya Giant, Batu 10, malam Ahad lalu.

Dev berkata, sebelum kekecohan di depan balai itu pada jam 8.30 malam Ahad lalu, seorang suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lagi pemandu yang tidak memberi laluan kepadanya.

Suspek pertama itu kemudian mengekori pemandu kereta terbabit hingga ke pasar raya itu sebelum dia merosakkan kereta lelaki terbabit.

“Selepas tercetus pertengkaran dan pergaduhan, dua lelaki itu bersama beberapa rakan mereka kemudian pergi ke Balai Polis Batu 10 untuk membuat laporan.

“Bagaimanapun, setibanya di depan balai, dua kumpulan itu masih tidak berpuas hati dan terus bergaduh,” katanya.

Katanya lagi, kejadian itu menjadi viral di laman sosial sehingga banyak komen negatif mengenai kegagalan polis untuk meredakan kekecohan yang tercetus di depan balai.

“Siasatan dalaman juga sedang dijalankan (terhadap anggota bertugas) berhubung perkara itu dan polis belum dapat mengulas lanjut isu ini hingga siasatan dalaman selesai,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana perbuatan khianat.

“Semua enam suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini untuk permohonan reman,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.