Kesihatan Bob Lokman Semakin Teruk

PELAKON dan penulis lirik, Bob Lokman berkongsi keadaan kesihatannya sekarang yang dilihat semakin menurun.

Bob atau atau Mohd Hakim Lokman, 54, menerusi laman Facebooknya berkata dia menyedari kegembiraan yang dilaluinya sebelum ini sudah tidak seperti dahulu.

“Assalamualaikum Sahabat. Aku jumpa doktor lagi hari ni, rutin seorang tua. Selepas segala kegembiraan dan kesedapan aku lalui, standard sudah berubah.

“Selera makanan dan ghairah kehidupan sudah menurun sampai ke peringkat menunggu… Kau fahamlah. Cuma masih ada rasa untuk mencari peluang terbaik seterusnya.

“Sahabat, hari ini kau semua datang kembali dalam realiti, kenangan dan aku mula mengerti bahawa hubungan kita tidak hanya sampai di sini, cuma mungkin aku yang akan mendahului dengan faktor yang aku miliki,” tulisnya.

Dalam pada itu, Penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Malah, Bob juga berpesan kepada pengikut di laman sosialnya untuk mempertahankan agama Islam.

“Sahabat, terima kasih atas segala bantu dan aku membalas dengan mohon hembuskan aku ke syurga dengan doamu jika namaku gugur dahulu di Lauhul Mahfuz.

“Dan aku berpesan dalam kelemahan… pertahankanlah Islam… kerana itulah benteng terakhir yang aku perjuangkan,” katanya.

Rata-rata pengikut di laman sosialnya mendoakan agar Bob sembuh dengan cepat dan diberikan kekuatan.

Sebelum ini, Bob ditahan di UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada awal Januari lalu.

Menerusi laporan mStar Online pada 5 Januari lalu, Bob memberitahu ada menerima sumbangan daripada orang awam.

Selain itu, dia juga menerima bantuan kewangan daripada saudara mara dan teman-teman rapat serta pendapatannya sebagai penceramah program motivasi yang diterima turut digunakan untuk menyara keluarga. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.