Lega Dapat Selamatkan 3 Anjing Biarpun Rugi RM300,000

DUNGUN: Seorang mekanik sanggup bergadai nyawa meredah api bagi menyelamatkan tiga ekor anjing peliharaannya dalam kebakaran yang berlaku di kampung Sungai Buaya, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, sebuah rumah separuh kekal milik Fong Kheng Fee, 57 yang dijadikan sebagai stor simpanan peralatan membaik pulih bot musnah dalam musibah itu.

Sewaktu kejadian tiga ekor anjing peliharaan mekanik bot itu terperangkap di dalam kebakaran kerana ditinggalkan dalam keadaan terikat.

Kheng Fee berkata, dia bergegas pulang selepas dimaklumkan rumahnya terbakar.

Menurutnya, ketika sampai api sedang marak membakar dan tanpa berfikir panjang dia segera melepaskan tiga ekor anjing yang masih terikat.

“Sewaktu kejadian saya berada di tepi sungai membaiki bot dan segera pulang apabila diberitahu oleh seorang kenalan.

“Melihat api yang sedang membara saya tidak boleh menyelamatkan segala barang di dalam tetapi berusaha menyelamatkan nyawa anjing-anjing saya.

“Sudah lama saya bela anjing-anjing ini supaya mereka dapat mengawasi rumah ini kerana banyak barangan berharga iaitu peralatan bot disimpan,” katanya.

 

Dua daripada tiga ekor anjing yang berjaya diselamatkan.

Katanya, walaupun mengalami kerugian kira-kira RM300,000 akibat musibah itu dia lega kerana dapat menyelamatkan nyawa tiga ekor anjing kesayangannya itu.

“Walaupun hanya anjing tetapi saya tidak sampai hati membiarkan mereka mati terbakar dan saya juga tidak cedera walau ketika itu api sedang marak.

“Lebih kurang tujuh atau lapan tahun mereka sudah bersama saya,”katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan seratus peratus tetapi bomba dapat menghalang api dari merebak ke tiga buah rumah berhampiran.

“Kita terima panggilan kira-kira jam 4.14 petang dan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi dan selepas itu lima lagi anggota dari Balai Bomba Paka tiba untuk membantu.

“Kita mengalami kesukaran apabila jarak pili bomba yang agak jauh iaitu kira-kira 181 meter tetapi kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada jam 7.00 petang.

“Punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.