“Mereka Boleh Cium, Pegang Mummy Saja” – Rita Rudaini

KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini memberitahu dia terpaksa membuka akaun Instagram untuk anak-anaknya atas permintaan mereka sendiri.

Bagaimanapun, Rita, 42, berkata, dia tidak membenarkan anak-anaknya mengendalikan laman sosial tersebut sendiri.

“Saya buka akaun Instagram untuk mereka kerana mereka minta, kawan-kawannya di sekolah sudah ada Instagram dan sering mendesak mereka untuk membuka laman sosial itu.

“Jadi saya buka jugalah, tapi saya yang pantau, saya tak benarkan dia baca komen, cuma saya akan tanya dulu nak muat naik gambar yang mana sahaja,” ujarnya kepada mStar Online.

Rita ditemui pada sidang media program Oh My Family! yang diadakan di sini, pada Isnin.

Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008, namun bercerai pada September 2013.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini bawah jagaan Rita.

 

Gaya seorang artis… iaitu Airit Rayyan Rizqin (kanan) dan adiknya Airit Qaqa Arjuna.

Pelakon filem Mami Junior ini berkata, semua mesej dan komen menerusi laman sosial anaknya akan ditapis untuk kebaikan mereka.

“Tak boleh, banyak bahaya dari baiknya, semua komen dan mesej saya akan baca dan balaskan.

“Setakat ini mereka akur dan faham dengan apa juga syarat yang saya letakkan,” ujarnya.

Kata Rita, dia perlu mengambil pendekatan bersikap tegas terhadap kedua-dua anaknya itu.

Pergaulan dan rakan sekelilingnya membuatkan mereka mudah terdedah dan terpengaruh dengan dunia luar.

“Saya kena tegas bagi mereka takut sedikit, perkembangan kanak-kanak sekarang berbeza, kadang-kadang kita tidak tahu pun muzik dan lagu-lagu baharu tapi mereka dah kenal artis luar negara.

“Saya sudah pesan mereka hanya boleh cium dan pegang Mummy (Rita) sahaja, perempuan lain tidak boleh. Saya takut pergaulan di sekolahnya terbuka sedikit,” ujarnya.

 

Barisan artis bersama anak masing-masing yang terlibat dalam Oh My Family.

Kedua-dua cahaya mata aktres berkenaan bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa dekat sini.

Dalam pada itu, mengulas tentang Oh My Family!, Rita berkata, program berkenaan mampu memberi pendedahan sambil belajar kepada anak-anaknya itu.

Ia juga peluang untuk anak sulungnya Rayyan yang sering meminta untuk berlakon drama seperti pelakon kanak-kanak lain.

“Dia berminat dan selalu tanya saya bila dia boleh berlakon drama. Kalau berlakon betul-betul saya tidak benarkan lagi buat masa sekarang, tunggulah habis sekolah dulu.

“Kalau sekadar program seperti ini tiada masalah kerana kandungan program ini juga bagus untuk perkembangan minda mereka,” ujarnya.

Program tersebut turut menampilkan empat anak selebriti lain seperti anak Datuk Aaron Aziz, Datuk Fazley Yaakob, Aziz M Osman dan Azad Jazmin.

Oh My Family! akan bersiaran setiap Rabu, pada pukul 9 malam bermula pada 11 April ini di saluran Astro Ria. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.