Polis Ambil Keterangan Pengadu Kes Penceramah Bebas

SEREMBAN: Polis sudah merekodkan keterangan daripada pengadu yang membuat laporan polis ke atas seorang penceramah bebas yang dikatakan mempunyai skandal dengan isteri orang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada lelaki berkenaan susulan laporan polis yang dibuatnya di Johor Bahru, Sabtu lalu ke atas penceramah berusia 41 tahun itu.

“Polis masih jalankan siasatan berhubung perkara ini mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan. Kita sedang rekodkan keterangan dan kumpul bukti seperti proses siasatan kes lain.

“Setakat ini kita sudah ambil keterangan pengadu dan akan lakukan perkara sama kepada semua pihak yang terbabit termasuk penceramah berkenaan,” katanya selepas lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.

Semalam, penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat tampil menjawab tuduhan itu tidak benar malah beliau tidak tahu apa isi kandungan dan siapa yang membuat laporan polis terbabit.

Katanya, beliau tiada masalah untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan.

Malah Syamsul yang baru balik dari menunaikan umrah terkejut apabila tiba-tiba dimaklumkan ada laporan polis mendakwa beliau mempunyai skandal dengan isteri orang.

Beliau yang membuat sidang media di sini semalam dengan ditemani peguam Datuk T Anandan berkata, tuduhan itu tidak benar malah tidak tahu apa isi kandungan laporan dan siapa yang membuat laporan terbabit.

Malah, Syamsul mendakwa tidak tahu laporan mengenai apa, motif laporan dibuat dan tidak tahu juga sama ada laporan itu bertujuan untuk menjejaskan reputasinya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.