Yana Rindu Nak Berlakon, Tapi Tiada Masa

KUALA LUMPUR: Hampir setahun menghilang daripada dunia lakonan, tidak hairanlah ada peminat menyangka bintang filem Adnan Sempit ini sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pentas seni.

Hakikatnya, Yana Samsudin tidak pernah terfikir mengundurkan diri, sebaliknya terlalu sibuk dengan tugas pengacaraan serta mengurus perniagaan.

Yana mengaku rindu dengan dunia lakonan namun rutin hariannya terlalu padat apatah lagi mengasuh sendiri putera kesayangan, Aisy Mateen yang berusia dua tahun.

“Rindu nak berlakon, tetapi dengan komitmen dalam bidang pengacaraan agak sukar untuk saya beri tumpuan kepada bidang lakonan.

“Disebabkan saya tidak ada pembantu rumah, agak sukar untuk meninggalkan anak terlalu lama,” katanya kepada BH Online.

Yana turut menafikan status sebagai isteri dan ibu, selain berhijab menyebabkan dirinya enggan lagi menerima tawaran berlakon.

“Tidak benar… Sebaliknya, kekangan masa dengan tanggungjawab menguruskan syarikat.

“Jadi agak sukar untuk melakukan lebih daripada dua kerja serentak,” katanya.

Yana mengaku semakin seronok menggalas tugas sebagai pengacara bermula dengan program Lesung Pipit hingga menjadi hos program bual bicara, Bismillah Ad Dhuha.

Terbaru, Yana diberi kepercayaan mengendalikan siaran langsung program jualan barangan melalui televisyen (TV), The Wow Show terbitan ntv7.

“Saya selesa berada dalam bidang ini, komitmen kena tinggi. Sebelum program bermula, saya kena bersedia dua jam sebelum siaran langsung.

“Kalau terima tawaran berlakon, saya tak tahu macam mana hendak membahagikan masa,” katanya.

Namun, Yana berkata, jika syarikat produksi mahu mengikut jadual dan rutin hariannya, dia tidak menolak jika ditawarkan berlakon.

“Dalam seminggu, dua hari saya akan bersama The Wow Show. Dua hari lagi dengan produksi Bismillah Ad Dhuha. Jadi, selebihnya barulah ada masa dengan keluarga dan urusan syarikat,” katanya.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam program The Wow Show sejak Ogos lalu, Yana menganggap ia sebagai peluang keemasan untuk melebarkan bakat dalam dunia pengacaraan.

“Setiap kali saya mendapat barang untuk dipromosikan, saya akan cuba dulu di rumah. Ini penting supaya kita tahu apa kelebihan sesuatu produk sebelum meyakinkan pembeli,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.