Hamidin Dapat ‘Undi Pertama’

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meraih ‘undi pertama’ daripada Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) untuk menerajui badan induk itu.

Ia selepas Presiden PJBM, B Sathianathan secara terbuka menzahirkan sokongan penuh terhadap Hamidin dengan menganggap beliau sebagai individu paling layak menggantikan tempat Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah, Sathianathan menyifatkan Hamidin sebagai individu serba lengkap untuk pengurusan bola sepak selepas sekian lama terbabit dalam arena sukan nombor satu negara itu.

“Melihat kepada situasi sekarang, Hamidin orang paling sesuai dipilih sebagai presiden. Beliau juga orang lama dan sudah mengetahui segala selok belok dalam bola sepak.

“Jadi, tindakan Tunku Ismail mencadangkan nama beliau pun memang tepat. Sekarang sudah masanya Presiden FAM dipilih daripada mereka yang boleh bekerja sepenuh masa.

“Hamidin juga rapat dengan semua ahli gabungan. Malah, hubungan baik beliau dengan Tunku Ismail juga mampu mewujudkan satu situasi yang bagus untuk FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM kelmarin, Tunku Ismail membuat kejutan apabila mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, keputusan sama ada peletakan jawatan Tunku Ismail itu bakal diterima atau ditolak bakal ditentukan pada mesyuarat khas badan induk itu, Isnin ini.

PJBM yang juga ahli gabungan FAM mempunyai kuasa memilih presiden badan induk itu menerusi satu undi yang diberikan mereka.

Selain itu, Sathianathan berkata, Hamidin juga mampu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan dalam FAM kerana tidak terbabit dengan komitmen lain.

“Hamidin bukan macam presiden lain yang baru masuk dan perlu tahu semua sistem dalam FAM. Jadi, saya fikir beliau tidak perlukan masa untuk menguruskan badan induk itu.

“Sama juga seperti TMJ sebelum ini yang boleh dikatakan sepenuh masa bersama bola sepak. Tapi sekarang TMJ mahu fokus kepada MFL dan Hamidin orang yang paling layak menggantikan tempatnya,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.