Kanak-kanak Lelaki Maut Terjerut Tali Langsir

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas lehernya terjerut tali langsir di rumah keluarganya di Jalan Meru Impian 10, Halaman Meru Impian, Meru Raya di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tergantung pada tali pengikat langsir berkenaan oleh ibu tirinya berusia 30 tahun di ruang masuk dapur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata ketika kejadian, mangsa dan ibu tirinya berada di rumah manakala bapa mangsa yang juga seorang pensyarah berusia 33 tahun berada di Bangi, Selangor atas urusan kerja.

Katanya, sebelum kejadian, ibu tiri mangsa memberikan makanan kepada mangsa sebelum kanak-kanak itu bermain di ruang tamu manakala ibu tirinya memasak di dapur.

Beliau berkata, ibu tiri mangsa kemudian berasa tidak sedap hati selepas tidak mendengar suara mangsa dari ruang tamu.

“Apabila ibu mangsa memasuki ruang tamu, dia mendapati leher mangsa terjerut dan tubuh mangsa tergantung di tali langsir ruangan masuk ke dapur.

“Ibu tiri mangsa mengangkat dan menurunkan mangsa di atas lantai. Ketika itu mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, susulan itu, ibu tiri mangsa menghubungi bapa mangsa sebelum menghubungi kakaknya yang tinggal selang satu rumah dari rumah berkenaan.

“Ibu mangsa menghubungi talian kecemasan dan pihak hospital mengajar cara membuat bantuan pernafasan (CPR) menerusi telefon sementara menunggu ketibaan ambulans.

“Ketika itu, mangsa memberikan tanda positif apabila ibu mangsa merasai denyut an nadi dan terdapat susu keluar dari mulut mangsa,” katanya.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada jam 3 petang.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai bermain di tali pengikat langsir dan terdapat tangga bersebelahan pintu masuk ke dapur.

“Hasil bedah siasat pada jam 6.55 petang mendapati mangsa maut akibat kesan tekanan pada leher yang konsisten akibat tergantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.