KPWKM Garis Cadangan Atasi Isu Rempit Dan Basikal Lajak

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggariskan beberapa cadangan bagi mengatasi isu rempit dan basikal lajak melibatkan kanak-kanak dan remaja termasuk mewujudkan silibus khas berkenaan keselamatan dan undang-undang jalan raya kepada pelajar sekolah.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata cadangan yang diperoleh menerusi Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak dan Remaja pada 22 Mac lalu itu bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akan bahaya berlumba motosikal atau basikal lajak.

“Antara cadangan lain ialah menurunkan had umur remaja untuk memohon lesen motosikal kepada 14 atau 15 tahun dengan beberapa syarat tambahan iaitu mereka yang telah mendapat lesen hanya boleh menunggang motosikal di kawasan tertentu sahaja seperti taman perumahan serta menetapkan tempoh yang dibenarkan untuk menunggang iaitu antara 7 pagi hingga 8 malam.

“Selain itu, kementerian turut bercadang mewujudkan gelanggang khas untuk perlumbaan motosikal bagi mencungkil bakat anak muda di samping membolehkan golongan muda ini melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih sihat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Azizah berkata kementerian memperuntukkan sejumlah RM1,966,500 bagi menampung perbelanjaan dan operasi Program Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PAWE) sepanjang tahun ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.