Lubnan Tambah Derita Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Malaysia yang dibarisi ‘skuad kedua’ nyaris menyentap ego pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, sebentar tadi.

Meskipun tewas, namun skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang dibarisi ramai muka baharu itu boleh mendabik dada kerana memperagakan corak permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan serangan yang dilancarkan.

Malah, barisan pertahanan negara yang dibarisi pemain kurang berpengalaman juga wajar diberi pujian kerana sering mengekang asakan jentera serangan Lubnan yang dilihat bergelut untuk memecah masuk ke kotak penalti.

Pada aksi terbabit, Malaysia dihukum seawal minit ke-18 apabila Matthew Davies menjatuhkan kapten pasukan Lubnan, Hassan Maatouk di dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Valentin Kovalenko tidak teragak agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Maatouk nyata tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu menerusi satu rembatan kencang yang menerjah penjuru kiri gol sekali gus menewaskan Hafizul Hakim untuk gol pembukaan.

Malaysia cuba mengasak dan hampir mengejutkan Lubnan apabila satu gerakan pantas menerusi bahagian tengah berjaya menemui Zaquan Adha Abd Radzak namun percubaannya sedikit tersasar melewati palang gol pada minit ke-22 sebelum hantaran lintang Davies dikuis keluar penjaga gol Lubnan, Mehdi Kahlil enam minit berselang.

Babak kedua bersambung, Lubnan memperkemaskan asakan untuk memburu gol tambahan namun tiada percubaan dapat dihasilkan dalam tempoh 10 minit pertama separuh masa kedua sehinggalah gerakan Rabih Ataya menerusi bahagian sayap kanan tetapi cubaannya terkena palang pada minit ke-58.

Percaturan Cheng Hoe untuk membawa masuk penyerang Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad akhirnya memberi impak segera selepas penyerang muda itu meledak gol penyamaan sekali gus mengejutkan Lubnan menerusi tandukan deras hasil sepakan sudut pada minit ke-72 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Malaysia bernasib baik selepas jaringan Hilal Al Helwe pada minit ke-84 dibatalkan pengadil selepas dia dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Begitupun, dia menebus kehampaan selepas meledak gol pada minit keempat masa tambahan untuk gol kemenangan tuan rumah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.