Semua Pihak Diberi Peluang Ambil Bahagian Dalam Kajian Semula Persempadanan – TPM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuka peluang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak proses kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu diadakan pada 15 Sept 2016, pelbagai cabaran dilemparkan terhadap pihak SPR termasuk ada pihak yang mengheret suruhanjaya itu ke mahkamah.

“SPR telah menyediakan platform untuk semua pihak mengemukakan bantahan terhadap mana-mana syor persempadanan yang telah dipamerkan seperti yang diperuntukkan dalam Seskyen 5 dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Namun realitinya, keputusan mahkamah memihak kepada SPR, membuktikan SPR telah melaksanakan tugas berlandaskan prinsip-prinsip yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul tersebut.

Ahmad Zahid berkata sepanjang tempoh pameran kali pertama dan kedua kajian semula persempadanan dilaksanakan, SPR menerima 1,685 represetasi yang dikemukakan oleh kerajaan negeri, Pihak berkuasa Tempatan dan juga representasi daripada kategori kumpulan 100 orang atau lebih pemilih berdaftar bagi kawasan pilihan raya yang terbabit.

“Bukan setakat itu sahaja, pihak SPR telah turun padang hatta pergi ke kawasan pedalaman untuk mendapatkan penjelasan daripada pembangkang,” katanya.

Katanya secara keseluruhannya, SPR mempertimbang kesemua bantahan termasuk 600 atau 36 peratus representasi yang telah diadakan siasatan tempatan.

“Dalam hal ini, SPR membuat keputusan iaitu sebanyak 1,041 atau 62 peratus representasi sokongan diterima untuk dipertimbang, 545 atau 32 peratus representasi ditolak untuk dipertimbangkan manakala 99 atau enam peratus representasi, sebahagiannya diterima dan ditolak,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan, SPR membelanjakan RM5.4 juta untuk proses berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.