TMJ Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon maaf susulan kemarau kemenangan dihadapi skuad Harimau Malaya sepanjang beliau menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menerusi satu kenyataan di laman Johor Southern Tigers, beliau yang melepaskan jawatannya selaku orang nombor satu FAM baru-baru ini turut mengucapkan selamat maju jaya dan mengakui akan sentiasa memberi sokongan kepada skuad kebangsaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya. Saya juga ingin meminta maaf kepada pasukan kebangsaan kerana sepanjang saya menjadi Presiden FAM, anda tidak pernah menang.

“Sekarang saya sudah tiada dan saya harap anda semua akan menang. Bagaimanapun, doa dan sokongan saya sentiasa bersama jurulatih dan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan,” katanya, semalam.

Pada masa sama, Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu turut melontarkan keyakinan betapa skuad kebangsaan mampu meraih kemenangan pada masa akan datang.

“Saya yakin satu hari nanti pasti anda semua akan bangkit dan akan membuat seluruh negara bangga dengan pencapaian pasukan kebangsaan,” katanya.

Selepas tunduk 2-1 di tangan Lubnan pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, malam tadi, skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam 12 perlawanan diharungi.

Kali terakhir skuad kebangsaan mencatat kemenangan adalah pada 20 November 2016 ketika mereka membenam Kemboja 3-2 pada saingan Piala AFF di Yangon, Myanmar.

Bagaimanapun, mereka berpeluang untuk menamatkan kemarau kemenangan apabila bertemu Bhutan pada satu lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.