Tukang Sapu Tinggal Anak Di Dobi Layan Diri

JOHOR BAHRU: “Mak minta maaf. Mak terpaksa tinggalkan anak di kedai dobi sebab mak tak mampu bayar pengasuh”.

Itulah luahan ibu empat anak, Julia Isnin, 41, yang terpaksa meninggalkan bayinya berusia empat bulan di kedai dobi di Larkin Perdana, di sini, setiap hari sejak dua bulan lalu ketika keluar bekerja.

Keluarga ini juga kini hidup merempat dan biasanya tidur di masjid dan rumah tinggal sejak Ogos tahun lalu apabila suaminya menghilangkan diri sebelum rumah yang didiami di Taman Chempaka, dekat sini, disita.

Julia yang bekerja mengambil upah sapu sampah di Larkin Perdana di sini berkata, dia nekad meninggalkan anaknya Mohd Iskandar, empat bulan, ditemani anak perempuannya, Nor Farahin Shahri, 11, serta anak kembarnya, Mohd Azhar dan Mohd Azhari, 13.

Kesempitan hidup juga menyebabkan hanya Nor Farahin masih bersekolah, manakala anak kembarnya terpaksa berhenti sekolah sejak tahun lalu bagi membantu ibunya menjaga adik mereka.

Julia berkata, walaupun bimbang keselamatan anaknya, terutama Iskandar yang dikenali sebagai Is yang masih bayi, dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak ada pilihan lain.

Katanya, kedai dobi adalah rumah kedua untuk anak-anaknya berteduh kerana yakin ia lebih selamat berbanding tempat lain, selain terletak berhampiran lokasi di bekerja di blok bangunan sama.

“Macam inilah rutin harian saya. Bermula jam 8 pagi dari Isnin hingga Sabtu, saya akan bawa anak-anak ke kedai dobi. Saya akan letak Iskandar di meja itu dan Alhamdulillah, Iskandar memang baik tak meragam, diam saja.

“Dia macam tahu mak dia susah. Kalau menangis pun biasalah nak susu tetapi kakak dia boleh buatkan. Cuma kadang-kadang kalau tak abang, kakak dia akan cari saya apabila Is menangis.

“Kadang-kadang sambil sapu sampah terdetik juga janganlah jadi apa-apa, terutama pada si kecil. Nak buat macam mana, kalau saya tak bekerja, susu makan anak semua saya tak dapat beli,” katanya ketika ditemui di Larkin Perdana di sini.

Julia berkata, walaupun lokasi dia bekerja terletak kira-kira 100 meter dari kedai dobi itu, dia berulang kali menjenguk anaknya bagi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menghilangkan diri, manakala rumahnya disita, tahun lalu.

Julia juga cuba mencari suaminya namun gagal dan sehingga kini statusnya juga tidak diketahui.

Katanya, dia terpaksa bekerja ketika masih dalam pantang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga walaupun sedar keadaan itu membahayakan kesihatannya.

“Bayangkan dalam pantang pun saya bekerja. Sapu sampah, pergi kedai makan untuk ambil upah cuci pinggan, nak cari duit bagi anak-anak makan. Pernah kami tiada duit dan minta dekat orang tetapi kena marah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), Ridhwan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membantu dua anak kembar Julia iaitu Mohd Azhar dan Mohd Azhari meneruskan persekolahan mereka.

Katanya, pihaknya akan berjumpa pengetua sekolah lama remaja berkenaan untuk membincangkan perkara berkaitan secepat mungkin.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang guru bagi memastikan anak muda pewaris bangsa tidak terabai dalam pelajaran. Mungkin kami akan dapatkan bantuan makanan percuma kepada mereka dan pengecualian yuran sekolah,” katanya.

Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat ketika dihubungi pula berkata, pihaknya akan ke lokasi terbabit terlebih dahulu sebelum memutuskan bantuan yang layak diterima. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.