20 Tahun Pindah-randah Kerana Banjir

KUALA SELANGOR: Semua 17 penduduk daripada dua keluarga dari Kampung Seri Aman terpaksa menetap sementara di Pusat Pemindahan Banjir Desa Coalfield sejak semalam ekoran banjir di kawasan itu masih belum surut.

M Lalitha, 38, bersama sembilan ahli keluarganya pasrah untuk berlindung di dewan berkenaan walaupun tidak selesa berbanding di rumah sendiri.

“Air naik sampai ke paras paha dan semua ahli keluarga dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk berpindah seawal jam 11 pagi semalam walaupun saya berat hati untuk keluar dari rumah.

“Ini adalah kali kedua kami terpaksa berpindah ke lokasi lebih selamat dalam tahun ini. Sebelum ini, apabila berlaku banjir, kami berpindah ke rumah keluarga yang tidak terjejas,” katanya.

Lalitha berkata, masalah banjir di kawasan itu sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun dan seakan tiada kesudahan setiap kali hujan lebat melebihi satu jam.

“Setiap kali kami berpindah ke rumah saudara atau ke pusat pemindahan, anak-anak terpaksa ponteng sekolah memandangkan segala kelengkapan persekolahan tidak lengkap, selain masalah pengangkutan ke sekolah,” katanya.

A Chitra, 38 dan enam ahli keluarga, termasuk ibunya juga berdepan masalah sama.

“Demi keselamatan, kami terpaksa berpindah, tetapi kami tak tahu sampai bila masalah ini akan berlarutan.

“Kami berharap dapat segera pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Namun, kami menggesa pihak terbabit menyelesaikan masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan tanpa henti untuk beberapa jam,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.