600 Pendidik 4.0 Dilatih

KUALA LUMPUR: Buku panduan pendidikan tinggi 4.0 yang mengandungi garis panduan bagi berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) akan dilancarkan dalam tempoh dua minggu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata garis panduan itu berupaya memperkukuhkan dasar pembelajaran dan pengajaran.

“Ketika ini, seramai 600 pendidik 4.0 sedang diberi pendedahan mengenai teknologi dan pendidikan baharu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abd Aziz membangkitkan persoalan mengenai dapatan kajian bahawa 65 peratus pelajar sekolah ketika ini akan berdepan bidang pekerjaan baharu, susulan ledakan IR4.0.

Idris berkata, kementerian menggariskan empat penekanan kepada pengurusan sekolah, seiring kesan IR4.0 terhadap sistem pendidikan.

Ia merangkumi ruang belajar, keanjalan kurikulum, penggunaan teknologi serta kaedah pembelajaran dan pengajaran.

“Secara ringkas, ekosistem pembelajaran sekarang adalah sangat berbeza selari tuntutan pasaran dan industri,” katanya.

Menjawab soalan asal Abd Aziz mengenai kadar kebolehpasaran graduan, Idris berkata kajian menunjukkan peningkatan positif berhubung aspek berkenaan.

Katanya, Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), tahun lalu mencatatkan kebolehpasaran penuntut universiti meningkat 4.1 peratus berbanding 2013.

“Graduan politeknik pula merekodkan kadar kebolehpasaran 94.5 peratus,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.