Azmin ‘Takut Bayang Sendiri’ – Irmohizam

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mungkin ‘takut dengan bayang-bayang sendiri’ berikutan amarannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Beliau dikatakan berbuat demikian supaya SPRM tidak cuba mengugutnya berhubung isu tanah di Ijok yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata Azmin perlu berhati-hati dengan amarannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Azmin tidak perlu melatah sehingga menuduh UMNO mengelirukan rakyat dengan isu tanah Ijok.

“Mungkin beliau (Azmin) sendiri yang menganggap sedemikian, sedangkan rakyat Selangor dilihat boleh menghidu skandal tanah Ijok ini.

“Justeru, memang sewajarnya SPRM menyegerakan penyiasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal tempatan yang menyatakan Menteri Besar Selangor memberi amaran kepada Dzulkifli susulan peneroka asal akan dipanggil untuk membantu siasatan kes penjualan tanah kira-kira 880 hektar itu pada harga RM1.18 bilion kepada pemaju swasta.

Menteri besar itu juga mendakwa SPRM dipergunakan UMNO untuk menyerangnya.

Irmohizam turut mempersoalkan apakah tindakan Azmin itu kerana beliau berasa tertekan sehinggakan menganggap siasatan SPRM adalah untuk mengugutnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.