Bront Belum Terfikir Berhijrah Ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Sambutan baik terhadap tiga filem Indonesia lakonannya bagai mencukupkan syarat buat pelakon, Bront Palarae berhijrah ke republik itu demi karier seni.

Namun, Bront enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya menjelaskan, banyak perkara perlu difikirkan sebelum melebarkan sayap ke Jakarta.

“Peluang bekerja dengan produksi asing atau luar negara membuka banyak manfaat. Impak yang paling ketara adalah ilmu diperoleh, pengalaman dan persahabatan terjalin.

“Daripada sudut pasaran pula, sebelum saya tembusi Indonesia, sudah ada penonton dari negara itu yang mencari filem lakonan saya.

“Jadi, soal nak berhijrah, saya belum fikirkan… Isteri mencadangkan kami berpindah ke sana, tapi ia bukan perkara mudah. Banyak perkara perlu saya fikirkan,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Bront membintangi filem box office Indonesia iaitu Pengabdi Setan, Ayat Ayat Cinta 2 dan My Stupid Boss.

Bront berkata, mengikut perancangan, dia akan terbabit dengan satu lagi projek penggambaran di luar negara, mulai pertengahan tahun ini.

“Bagaimanapun, saya belum bersedia berkongsi mengenai projek itu,” katanya.

Bront berkata, dia membintangi filem antologi seram Asia membabitkan pengarah dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Korea dan Jepun terbitan HBO Asia.

“Projek berjudul Folklore itu turut membabitkan Nabila Huda, Redza Minhat dan beberapa pelakon lain,” katanya.

Bront berkata, sejak awal tahun ini, dia sibuk dengan penggambaran filem genre techno thriller berjudul Proksi arahan Zulkarnain Azhar.

“Saya memegang watak sebagai penggodam yang disiasat bagi membantu mengesan suspek utama kes keganasan siber,” katanya.

Beliau berkata, lebih 50 peratus penggambaran dilakukan di Thailand.

“Antara pelakon terbabit termasuk Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Sangeeta Krishnasamy dan Susan Lancaster,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bront teruja menanti tayangan filem terbitannya di bawah arahan Nam Ron, One Two Jaga, tidak lama lagi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.