‘Datin’ Dipenjara Lapan Tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara terhadap seorang suri rumah yang mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas Rozita Mohamad Ali, 44, selepas mengenepikan hukuman dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan bermula hari ini dan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas Rozita, dan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, permohonan semakan semula hukuman dibuat Jabatan Peguam Negara terhadapnya.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad manakala responden diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 21 Mac lalu, Rozita gagal hadir ke mahkamah dan pihak pendakwaan diberi tempoh seminggu untuk mencarinya.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda

Ditemui sebelum prosiding bermula, wanita itu mengesahkan tidak mempunyai gelaran termasuk Datin seperti dilaporkan sebelum ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.