Demam PRU Bermula, Kopiah, Tudung Parti Jadi Pilihan

PETALING JAYA: Adakah kemeja-T bertemakan politik dilihat terlalu kolot buat anda?

Jangan bimbang, anda kini boleh menyarungkan ‘pilihan hati’ di kepala bagi menunjukkan sokongan kepada parti pilihan anda pada pilihan raya umum akan datang (PRU-14).

Usahawan tempatan bijak memanfaatkan demam pilihan raya menjelang hari mengundi dengan menjual aksesori bergaya yang boleh dijadikan juga sebagai cenderamata.

Sebuah e-shop, di laman sosial Instagram @by.taiyuddinbakar, menawarkan kopiah untuk pelbagai parti politik sejak 21 Februari lau.

Perbezaannya ditunjukkan menerusi penggunaan warna benang pada kopiah.

Sebagai contoh, kopiah #SahabatDAP kebanyakannya putih, dengan dua garis halus merah dan biru.

Dengan harga RM45 sehelai, rekaan hijau dan putih mudah dikhaskan untuk #SahabatPAS, manakala #SahabatAmanah berwarna oren dan putih.

Pelakon, Taiyuddin Bakar memulakan perniagaannya sejak lebih setahun lalu, dan pada awalnya menumpukan pelanggan dalam kalangan penyokong bola sepak bagi menunjukkan pelbagai negeri di Malaysia.

“Bagi PRU-14, saya seorang yang membesar dalam keluarga yang sangat berpolitik. Ideologi politik dapat membezakan cara orang berfikir, tetapi saya memilih untuk melihat persamaan,” kata pelakon berusia 35 tahun itu.

“Ia adalah untuk mengingatkan diri saya dan untuk mengingatkan rakan-rakan beragama Islam di luar sana, bahawa apapun kita adalah sama. Kita tunduk kepada Tuhan yang sama, iaitu Allah.

“Kita mungkin ada perselisihan faham sana sini, tetapi saya berhasrat untuk melihat semua orang, memakai kopiah yang berlainan, berdoa bersama di masjid, atau mungkin juga melihatnya dalam satu saf (barisan semasa bersolat),” tambahnya.

Berdasarkan posting di laman sosial Facebook pada 26 Mac lalu, ‘Chenta Watie Scarf – Aura Keanggunan Wanita’ mempromosikan siri koleksi edisi terhad.

Ia menghimpunkan pilihan tudung-tudung yang simbolik dengan parti-parti politik seperti BN-01 (Barisan Nasional), PH-01 (Pakatan Harapan) dan banyak lagi, dengan warna yang ceria selain rekaan logo yang tampak kemas.

Dijual untuk RM59 sehelai, tudung yang diperbuat daripada kain satin yang tidak panas itu selesa dipakai semasa berkempen.

Tempahan awal boleh dibuat sehingga 14 April ini.

Permintaan dijangka meningkat dengan harga ditawarkan untuk pembelian secara borong. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.