Nelayan Kenduri Kesyukuran Dapat Dua Dewan, Jeti

PONTIAN: Seramai 100 nelayan menyertai majlis kenduri kesyukuran di Jeti Nelayan Kampung Sungai Durian, Serkat Kukup di sini, hari ini selepas impian mendapatkan dua dewan dan dua jeti baru sejak lapan tahun lalu tercapai.

Setiap sebuah dewan berkeluasan kira-kira 12 meter persegi itu dilengkapi kemudahan asas seperti surau, tandas dan ruang mengumpul hasil laut.

Jeti baru itu pula yang dibina daripada konkrit sepanjang kira-kira 10 meter siap sepenuhnya pada September lalu dengan kos keseluruhan RM600,000 dapat membantu memudahkan nelayan menjalankan aktiviti harian.

Setiausaha Muafakat Nelayan Kampung Sungai Durian, Hairul Imran Ramlan, berkata jeti sedia ada sebelum ini berbahaya kepada nelayan kerana dibina daripada kayu serta sudah dalam keadaan usang dan reput.

Katanya, sepanjang penantian kemudahan yang diimpikan itu, banyak kejadian tidak diingini berlaku apabila beberapa nelayan pernah terjatuh selepas terpijak kayu pada jeti yang usang ketika memunggah hasil tangkapan.

Katanya, kemalangan berlaku kepada golongan terbabit bukan sekadar berakhir di jeti kayu itu, malah pada masa sama mereka dilanda kebimbangan apabila pondok kecil untuk mengumpul hasil tangkapan dan berehat di jeti itu semakin usang dan berisiko runtuh.

“Lebih mengharukan ada nelayan yang ditimpa kemalangan di jeti berkenaan mengalami masalah kewangan kerana sudahlah tidak dapat turun ke laut, wang yang ada perlu digunakan pula untuk kos perubatan,” katanya.

“Semua sejarah lama itu tidak akan berulang lagi kerana pembinaan dua dewan dan penambahan dua jeti yang diimpikan nelayan sudah siap sepenuhnya dengan sempurna.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin membela nasib golongan nelayan,” katanya ditemui pada majlis kesyukuran sempena selesai pembinaan dua dewan dan penambahan dua jeti di Jeti Nelayan Kampung Sungai Durian.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pontian, Radzuan Jaamat; Penghulu Mukim Serkat Roslan Bokari; Ketua Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Durian, Hairul Nizam Razali dan Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Saiful Effendi Abd Halim.

Sementara itu, Suhaimi berkata, kemudahan asas itu menjadi keperluan utama nelayan di kampung berkenaan dan perlu diperbaiki segera bagi memastikan mereka selamat dan selesa untuk menjalankan aktiviti harian.

“Dengan adanya dua dewan dan dua penambahan jeti konkrit, nelayan boleh melakukan kerja dengan mudah dan selamat selepas berpenat lelah menangkap ikan di laut.

“Saya lebih berbangga apabila ada dalam kalangan nelayan membuat kerja sampingan seperti berniaga secara kecil-kecilan dan bercucuk tanam, namun pada masa sama mereka perlulah menyertai Koperasi Nelayan sekali gus menjana pendapatan menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

Sempena majlis itu, Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Johor (JUITA) turut menyampaikan sumbangan keperluan dapur dan wang tunai kepada 20 penerima yang kurang berkemampuan.

Bagi penerima sumbangan, Sajiah Dollah Kassan, 57, yang ditemani suami Mohd Masdar Mat Badron, 68, mereka berterima kasih atas sumbangan berkenaan yang membantu meringankan beban mereka.

“Program berkenaan bukan sekadar membantu nelayan dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas, malah membantu penduduk yang kurang berkemampuan,” katanya yang menghidapi penyakit saraf sejak lima tahun lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.