Pelajar UUM Laksana Program Kemasyarakatan Di Padang

SEPANG: Lebih 25 pelajar Program Pengajian Luar Kampus (PLK), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) berlepas ke Bukit Tinggi, Padang, Indonesia bagi menjayakan program kemasyarakatan ‘Overseas Community Service Learning’ selama tiga hari bermula hari ini sehingga 31 Mac.

Program bertemakan ‘Jalinan Kasih Serantau’ itu adalah kerjasama pelajar dari program Sarjana Muda Pengurusan Awam, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Muda Komunikasi sesi Januari 2018/2019 universiti berkenaan dan mendapat kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pengerusi program, Mohd Shahril Annuar berkata, di antara pengisian sepanjang tiga hari program terbabit ialah mengadakan aktiviti gotong-royong dengan masyarakat di Kampung Pagu-Pagu, Pandai Sikek, Bukit Tinggi; program anak angkat bersama penduduk kampung dan majlis bersama anak yatim serta golongan asnaf dari Badan Kebajikan Masjid Nurul Ihsan di sana.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan sesi beramah mesra bersama masyarakat setempat, menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan bantuan.

“Tidak ketinggalan, pelajar akan berpeluang mempelajari dan memahami kesenian serta kebudayaan masyarakat Minangkabau dengan menyertai aktiviti yang diatur oleh penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum berlepas ke Padang, Indonesia.

Turut mengiringi rombongan ialah pensyarah subjek Pembangunan Kemasyarakatan IV yang juga penasihat program, Zulhairi Zakariah.

Mohd Shahril berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat mengangkat nama UUM ke peringkat tertinggi di kalangan negara ASEAN khususnya dan Asia, amnya memandangkan kedua-dua negara mempunyai sejarah hubungan dua hala yang terjalin sekian lama.

Sehubungan itu, katanya, pelajar yang menjayakan program terbabit diharap dapat meningkatkan aspek keyakinan, semangat setiakawan, kekitaan dan kerja berpasukan.

Selain itu, seorang peserta, Noraziah Ibrahim berkata, beliau teruja untuk menjayakan program yang dirancang terutama membabitkan aktiviti kemasyarakatan dengan penyertaan penduduk Kampung Pagu-Pagu, Pandai Sikek.

“Saya berharap dapat bersama-sama rakan-rakan untuk berbakti dan melaksanakan aktiviti murni selain menyemai nilai kasih sayang, semangat saling membantu dan bersatu padu.

“Malah kami semua mahu menerapkan nilai sikap, etika dan profesionalisme dalam diri kami dengan menjayakan dan melaksanakan kesemua program sepanjang berada di Bukit Tinggi,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.