Remaja 18 Tahun Johan Qariah

SEREMBAN: “Sejak kecil saya suka dengar qari dan qariah membaca al-Quran,” kata Nur Natasha Azeze Shariman Azeze, 18, Johan Qariah Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan, semalam.

Katanya, mendengar qari dan qariah mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan, lengkap taranum dan tajwid, mendorong dia menyimpan angan-angan untuk mengikuti jejak mereka.

Minatnya itu disedari ibu bapanya yang kemudian menghantarnya belajar dengan guru agama untuk mempelajari hukum tajwid dan taranum.

“Tilawah al-Quran menjadi program kegemaran saya sejak usia tujuh tahun. Menyedari minat saya, ibu mencarikan guru supaya saya dapat belajar al-Quran dengan lebih sempurna.

“Setiap hari, saya ambil masa dua jam untuk belajar al-Quran. Di rumah pula, saya mengaji untuk memantapkan bacaan,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai johan qariah pada majlis itu yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang, itu menyifatkan kemenangannya itu pencapaian tertinggi pertamanya, meskipun pernah mengikuti pertandingan sama tahun lalu dan sekadar mendapat tempat ketiga bagi kategori remaja.

Sementara itu, Ahmad Basyir Abu Bakar, 37, yang dinobatkan sebagai Johan Qari berharap bacaan ayat al-Quran yang dialunkan akan menjadi antara usaha dakwah mengajak lebih ramai umat Islam meminati al-Quran.

Beliau yang dua tahun berturut-turut dipilih sebagai johan qari, berharap dapat menyertai pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pada masa depan.

Berkongsi harapannya, kakitangan swasta itu mahu umat Islam tidak mengabaikan al-Quran meskipun sibuk dengan lapangan kerjaya dan tugas masing-masing.

Pada majlis itu, Ahmad Basyir dan Nur Natasha membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berkenan hadir, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Selamat Paigo. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.