Sakinah Elak Anak Ketagih Gajet

KUALA LUMPUR: Enggan melihat anak leka dengan gajet, pelakon Sharifah Sakinah menghantar anak perempuannya mengikut kelas prasekolah ketika bercuti di Bali, sekarang.

Sakinah, 29, berkata, dia mahu memberi pendedahan awal kepada Anais Adha mendekati alam sekitar dan mengenal budaya selama dua minggu berada di pulau peranginan popular itu.

“Saya dan suami bercuti dua minggu jauh dari kesibukan kerja untuk membawa Anais mengikuti prasekolah di Bali. Sejak dulu lagi, saya suka dengan persekitaran di Bali, jadi saya mahu anak terdedah kepada budaya negara orang,” katanya kepada BH Online.

Sakinah berkata, dia mahu Anais, yang genap 10 bulan, awal bulan depan, membesar dengan mendekati alam sekitar.

“Sejak kebelakangan ini, kita lihat anak-anak kecil sering terdedah dengan barangan elektronik.

“Saya mahu anak membesar dengan mendekati alam sekitar termasuk bermain pasir, tanah, buah-buahan seperti pisang dan banyak lagi,” katanya.

– Foto Instagram Sharifah_Sakinah

– Foto Instagram Sharifah_Sakinah

Sakinah mengaku disebabkan kesibukan kerja, dia jarang dapat menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga.

“Kesempatan bercuti ini sudah lama saya cari. Saya merancang memberikan fokus kepada Anais yang sedang membesar,” katanya.

Baru-baru ini, rakaman video Sakinah mengajar anaknya bermain dengan buah pisang menjadi bualan netizen. Selain mempersoalkan tindakannya, ada juga yang memuji cara pelakon wanita itu mendidik anak yang dilihat berbeza dengan ibu bapa lain.

Selain memberi pendedahan awal kepada anak, Sakinah dapat melakukan aktiviti sihat sepanjang bercuti di Bali.

“Bali adalah lokasi pilihan… Kami bukan bercuti sebaliknya umpama menetap di sini kerana sudah mengenali penduduk setempat.

“Selepas menghantar Anais ke kelasnya, saya boleh bersenam bersama suami,” katanya.

Sakinah berkata, dia dan suami tidak pernah terfikir memilih destinasi lain untuk bercuti.

“Jika ada kelapangan masa, kami tetap akan berkunjung ke Bali,” katanya.

Sakinah dan suaminya, Aliff Adha, 30, yang bertugas sebagai juruterbang, mendirikan rumah tangga pada Mac 2015.

– Foto Instagram Sharifah_Sakinah
SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.