Miliki Aset Hasil Duit Sendiri, Bukan Ditaja

KUALA LUMPUR: Sesudah menghadapi kegetiran hidup, malah ada ketika terpaksa mengorbankan kemahuan sendiri, pelakon Ruhainies kini mampu tersenyum apabila memiliki kediaman dan kenderaan selesa pada usia muda.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 25, berkata kerja kerasnya menabung selama empat tahun berbaloi apabila aset yang diimpikan akhirnya berjaya dimiliki.

Biarpun ada yang memandang negatif, malah mengatakan kononnya aset itu hasil pemberian seorang hartawan, Ruhainies tidak melatah.

Bagi pelakon yang popular menerusi drama Hello Mr Perfect itu, hanya mereka yang rapat dengannya tahu bagaimana dia bekerja keras membahagiakan kedua-dua orang tuanya.

“Saya tidak boleh tutup mulut orang, mereka tidak tahu ada masanya dalam sehari saya perlu bergerak ke sana sini memenuhi komitmen. Memang letih, tetapi saya gigihkan diri demi mencari rezeki.

“Saya bekerja keras sejak mula berlakon, malah cuti juga boleh dikira dengan jari kerana saya mempunyai sasaran dalam hidup.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras, saya dapat apa yang saya mahukan. Mungkin tidak mewah, tetapi saya berbangga dapat membahagiakan orang tersayang,” katanya kepada BH Online.

Ruhainies bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah diserang sakit teruk hingga mengganggu kelancaran kerjanya.

Adik kepada pelakon, Risteena Munim itu berkata, biarpun kurang sihat, dia tetap gagahkan diri ke lokasi penggambaran kerana tidak mahu menyusahkan produksi.

“Alhamdulillah, setakat ini kesihatan saya baik. Bukan langsung tidak pernah sakit, tetapi saya tidak manjakan diri.

“Selagi tidak memudaratkan diri, saya tetap bekerja. Saya bimbang jika memanjakan diri, perjalanan produksi terganggu,” ujarnya.

Biarpun mempunyai kedudukan yang semakin selesa dalam industri, Ruhainies berkata, dia tidak pernah berpuas hati.

Melihat kemunculan muka baharu memeriahkan industri menaikkan semangatnya untuk terus gigih bekerja.

“Selagi diperlukan, saya akan bekerja keras. Orang luar hanya melihat dari sudut negatif, tetapi saya tidak kisah. Mereka begitu kerana tidak kenal siapa saya yang sebenar,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.