Tak Selesai Selagi MB Selangor Main Politik

SHAH ALAM: Penstrukturan industri air di Selangor tidak akan selesai selagi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berhenti bermain politik.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Mohamed Azmin dilihat lebih gemar memutar belit fakta berhubung dokumen perjanjian itu, berbanding berusaha untuk menyelesaikannya dengan segera.

“Beliau (Mohamed Azmin) mendakwa kononnya saya mengkhianati hak rakyat dengan menyerahkan semula aset berjumlah RM533 juta kepada Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHSB).

“Aset yang diserahkan kepada PNHSB bukan aset berkaitan perkhidmatan air, yang mana kerajaan negeri tidak memerlukannya bagi melaksanakan proses penstrukturan semula industri air.

“Masalah sekarang beliau tidak faham dokumen perjanjian. Agak susah untuk membuat kerja kalau beliau tidak faham apa di dalamnya (dokumen perjanjian),” katanya selepas Majlis Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera Negeri Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau kecewa dengan sikap tidak profesional Mohamed Azmin, sekali gus menyebabkan penstrukturan air di negeri itu gagal diselesaikan hingga sekarang.

“Beliau enggan menerima persetujuan yang dicapai antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan semula industri air yang membabitkan kos hanya RM9.65 bilion sahaja.

“Persetujuan ini turut membabitkan harga tawaran pengambilalihan ekuiti dan tanggungan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.92 bilion,” katanya.

Khalid turut mendakwa pentadbiran Mohamed Azmin ingin membayar sebanyak RM2.7 bilion terhadap ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.

Semalam, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, pengambilalihan SPLASH masih gagal menemui titik noktah.

Beliau memberi alasan pihaknya tidak boleh mengemukakan nilai pengambilalihan itu disebabkan mahu menjaga kepentingan pemegang saham syarikat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.