Bersenam Bukan Untuk Tayang Diri

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Ammar tidak kekok apabila susuk tubuhnya yang semakin tegap mula menjadi bualan ramai selepas berjinak-jinak dengan seni mempertahankan diri, Muay Thai.

Mula mempelajari sukan itu sejak Julai lalu, Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, 30, berkata, banyak perubahan yang dirasai selepas lapan bulan beraksi di gelanggang.

Tidak hanya berjaya menurunkan 12 kilogram berat badannya, sukan itu juga membantu meningkatkan stamina dan melatihnya supaya lebih berdisiplin.

“Saya langsung tiada niat untuk tayang badan, cuma mungkin susuk tubuh saya mula diberi perhatian apabila ia kelihatan lebih sihat dan tegap berbanding dulu. Memang ketara perbezaannya.

“Sejak aktif dengan Muay Thai, saya turut belajar menguasai bahasa Thailand daripada jurulatih yang berasal dari negara jiran itu. Saya juga berpeluang menambah kenalan ketika berlatih di gimnasium.

“Secara tidak langsung, ia membentuk persekitaran yang lebih sihat dan membantu saya lebih yakin berinteraksi,” katanya.

Ammar berkata, dia juga tidak lokek memperuntukkan sebahagian pendapatannya gara-gara minat mendalam terhadap seni mempertahankan diri ini.

Dia yang mengendalikan segmen petang bersama Deen dan Issey juga sanggup terbang ke Bangkok, Thailand untuk mendapatkan kelengkapan yang diperlukan.

“Disebabkan terlalu minat, saya pejamkan mata ketika berbelanja untuk mendapatkan barangan seperti sarung tangan, seluar dan baju.

“Biarpun terpaksa mengeluarkan sedikit peruntukan, saya tidak kisah kerana barang yang dibeli sukar didapati dalam negara.

“Bukan berlagak, cuma saya tidak dapat mengawal perasaan apabila melihat banyak barang menarik yang dijual di sana,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.