Lelaki Maut Sesak Nafas Turun Bukit

KANGAR: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut akibat sesak nafas ketika menuruni bukit di Kampung Wai, Kuala Perlis di sini, kira-kira jam 7 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa, Ong Kim Hong dari Taman Kuala Perlis, mendaki bukit itu bersama abangnya dan enam rakan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Berdasarkan laporan, katanya, abang Kim Hong mendapati mangsa yang berjalan di belakang kumpulan mereka, kelihatan tidak bermaya ketika menuruni bukit.

“Mereka berpatah balik dan melihat mangsa sedang duduk dalam keadaan sesak nafas,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun kira-kira seminit kemudian, beliau berkata, mangsa dikatakan tiba-tiba berhenti bernafas.

“Abangnya segera menghubungi bomba dan ambulans untuk bantuan tetapi mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa turun dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.