Syor Teroka Pasaran Hartanah Penuhi Permintaan

PUTRAJAYA: Inisiatif kerajaan menyediakan pelbagai projek rumah mampu milik bukan sahaja perlu diteruskan, malah pada masa sama disaran meneroka pasaran hartanah sekunder atau subjualan dalam usaha menampung permintaan rakyat yang mahu memiliki kediaman sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hartabumi.com, Radzi Tajuddin, berkata permintaan bagi Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) sangat tinggi, difahamkan mencecah 1.5 juta permohonan.

Katanya, ketika PR1MA sedang dijalan atau dibangunkan, kenapa tidak kerajaan turut meneroka pasaran subjualan kerana ada kediaman yang ditawarkan pada harga lebih murah berbanding rumah baharu.

“Kerajaan boleh mainkan peranan dengan menjadi pemudah cara antara pembeli dan juga penjual bagi pasaran subjualan (subsale) ini,” katanya kepada NSTP.

Beliau turut mencadangkan supaya projek perumahan mampu milik yang akan dibangunkan selepas ini turut mengambil kira lokasi dan kemudahan akses pengangkutan awam kepada pembeli.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Geshina Ayu Mat Saat, berkata memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa bagi B40 dan M40 di negara ini turut membantu dalam menangani masalah sosial yang boleh menjejaskan institusi kekeluargaan.

“Kerap kita lihat masalah sosial yang meruncing di kawasan penempatan padat dan setinggan, jadi masalah perumahan ini boleh menyumbang kepada masalah lain seperti keganasan, buli, lari rumah dan jenayah lain,” katanya.

“Jadi bila adanya tempat tinggal yang selesa, berpatutan dengan kemampuan rakyat, kemudahan mencukupi seperti yang disediakan kerajaan ini, pastinya ia turut mempengaruhi perubahan sikap dan pembangunan moral dalam sesebuah keluarga,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.