Man City Di Ambang Julang Gelaran

LIVERPOOL: Manchester City melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Everton, awal pagi tadi untuk memberikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu prospek terbaik dinobat juara dengan menewaskan seteru tetangga, Manchester United, minggu depan

City mengesahkan tiga mata di Goodison Park dengan gol yang disumbangkan oleh Leroy Sane, Gabriel Jesus and Raheem Sterling sebelum Yannick Bolasie menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah.

Kemenangan itu membuatkan tumpuan peminat-peminat City tidak beralih kepada pertemuan timbal balik pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool, awal pagi Khamis ini.

Sebaliknya, ia lebih terarah untuk melengkapkan kejuaraan elit domestik Inggeris menentang United di Eastlands, Sabtu depan.

Bagi pengendali City, Pep Guardiola, menjulang juara dengan menewaskan United kendalian Jose Mourinho, minggu depan jelas sesuatu memori yang cukup indah dan memberikannya peluang terbaik untuk meletakkan kelab bimbingannya sebagai salah satu kelab terbaik di England.

Permainan yang ditampilkan City pada kempen musim ini jelas cukup meyakinkan dan penuh kualiti tatkala mereka ketika ini memiliki kelebihan 16 mata di atas United di tangga kedua.

Everton begitupun bukan lawan yang mudah buat Guardiola apabila mereka menjadi satu-satunya kelab di divisyen utama yang gagal ditumpaskan pengurus dari Sepanyol itu sejak beliau mengambil alih City.

Malah, kekalahan terbesar bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu di City adalah kepada Everton pada musim lalu apabila mereka tumpas 0-4.

Sekali pun Everton tampak kuat di gelanggang sendiri musim ini, gawang mereka bocor seawal minit keempat menerusi jaringan voley Sane sebelum pemain Brazil, Jesus menggandakan kelebihan pada minit ke-12.

Lapan minit sebelum babak pertama tamat, pelawat terus menghukum pertahanan Everton apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Sterling sebelum Bolasie meledak gol sagu hati pelawat pada minit ke-63. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.