Pelancongan Langkawi Jana RM4.7 Bilion Tahun Lalu

LANGKAWI: Industri pelancongan di Langkawi berjaya menarik 3.6 juta pengunjung dan menjana pendapatan RM4.7 bilion, tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata angka itu diyakini akan berganda berikutan peruntukan RM1.3 bilion kepada pulau ini yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Februari lalu.

“Semua pihak akan mendapat faedah, termasuk pemain industri pelancongan terdiri daripada pengusaha hotel, resort, chalet, restoran, kedai makan, pusat beli-belah dan perkhidmatan berkaitan.

“Ini membuktikan perkembangan industri pelancongan Langkawi sentiasa dekat di hati Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Pengusaha Industri Pelancongan Pulau Langkawi dan Pelancaran Kalendar Acara di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengurus Taman Hidupan Liar Langkawi, Nur Hamzani Hamzah (tiga dari kanan) pada Malam Penghargaan Pengusaha Industri Pelancongan PuLau Langkawi dan Pelancaran Kalendar Acara di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, malam tadi. – Foto Hamzah Osman

Ahmad Bashah berkata, peruntukan RM1.3 bilion diterima itu membabitkan lima projek infrastruktur meliputi tadahan air, menaik taraf Hospital Langkawi dan pembinaan balai bomba, kuarters serta jalan raya.

“Ia (peruntukan) satu jumlah besar dan semua ini dilakukan kerajaan dalam usaha memastikan industri pelancongan di Langkawi terus berkembang dan menjana pendapatan kepada penduduk.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak supaya tidak mensia-siakan komitmen kerajaan ini. Janganlah membuat pilihan salah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memuji usaha LADA merancang penganjuran 67 acara pelancongan dan komuniti sepanjang tahun ini bagi membantu menyemarakkan industri pelancongan tempatan.

Pada majlis sama, Ahmad Bashah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha dan persatuan aktif memajukan sektor pelancongan di Langkawi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.