Bayi Syria Sebelah Mata Dirawat Di Turki

ANKARA: Seorang bayi lelaki yang hilang sebelah mata dalam serangan udara rejim Syria tiba di Turki semalam selepas penderitaannya mendapat liputan meluas media sosial, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Turki.

Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Turki, Kerem Kinik berkata, kanak-kanak itu yang baharu berusia lima minggu ketika cedera akan terselamat bagi pihak semua kanak-kanak tidak berdosa di Syria.

“Alhamdulillah, bayi lelaki, Karim kini selamat. Ia mengingatkan kita bahawa kita perlu memiliki hati nurani sebagai manusia,” kata Kinik menulis tweet.

Presiden Recep Erdogan secara peribadi menyambut kedatangan Karim Abdallah, kini berusia enam bulan dan anggota keluarganya selepas tiba di wilayah sempadan Turki di Hatay, menurut media negara itu.

Karim hilang sebelah mata dalam serbuan udara Oktober lalu di kawasan dikawal pemberontak Timur Ghouta, turut mengorbankan ibunya.

Pakar bedah otak dikenali Dr Abu Jamil berkata, kerosakan di bahagian lobus frontal dan mata kiri kemungkinan menyebabkannya menderita kesan jangka panjang.

“Lobus frontal memainkan peranan penting dalam kefahaman, kepintaran dan ingatan manusia,” kata doktor berusia 50 tahun yang menambah, masalah itu boleh dirawat dengan terapi tingkah laku dan kognitif serta pembedahan kosmetik, namun bukan dilakukan di Ghouta.

Satu perjanjian akhir dicapai semalam oleh pemberontak dan orang awam meninggalkan kawasan terakhir dikawal pembangkang di Timur Ghouta, memberi laluan buat rejim Syria mengambil alih semua wilayah satu ketika dulu dikawal pemberontak berhampiran Damsyik.

Lebih 45,000 pemberontak dan keluarga mereka dipindahkan dari Timur Ghouta sejak 22 Mac ke Idlib, menurut pihak berkuasa Syria. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.