Dituduh Buat Tuntutan Palsu, Jurusolek Akhirnya ‘Bersuara’

PETALING JAYA: Selepas mendiamkan diri sejak lebih dua minggu lalu, seorang jurusolek perkahwinan akhirnya tampil untuk membersihkan namanya kerana didakwa cuba menipu dengan membuat tuntutan palsu ke atas seorang bekas peserta realiti televisyen.

Noorhidayah Kamaruddin, 30, didakwa melakukan tuntutan itu selepas menyelesaikan tugasannya menyolek Noor Syakirah Mohd Azam atau Kiera untuk majlis perkahwinan yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pulau Redang pada 9 hingga 11 Mac lalu.

Antara tuntutan palsu yang dimaksudkan Kiera adalah bayaran parkir kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sebanyak RM350 tanpa melampirkan resit sebagai bukti, barangan solek yang tumpah semasa dalam perjalanan ke pulau tersebut dan bayaran penuh untuk solekan bagi sesi fotografi selepas perkahwinan yang dibatalkan atas sebab kesihatan.

“Sesi ‘post-wedding’ itu dijadualkan pada hari terakhir (11 Mac), tapi pagi tu baru dia maklumkan tak jadi nak ‘make-up’. Mana boleh macam tu, saya ‘stay’ sampai Ahad kerana ingatkan saya perlu solek dia untuk ‘post-wedding’.

“Kalau dia beritahu awal (sebelum majlis), tidaklah saya tolak tempahan oleh orang lain untuk tarikh tersebut. Jadi, nak tak nak, saya kena balik ikut jadual penerbangan balik ke Kuala Lumpur pada pukul 9 malam,” jelasnya ketika ditemui mStar Online di sini pada Sabtu.

 

Komen yang ditulis oleh pengendali Instagram @kieracatkingdom tentang konflik yang berlaku antara pihak mereka berdua.

Kata jurusolek yang berpengalaman selama lima tahun itu, sebelum majlis berlangsung, Kiera mengesahkan akan menempah sebanyak lima kali sesi solekan iaitu untuk malam berinai, akad nikah, makan tengah hari, makan malam dan ‘post-wedding’.

Dua lagi sesi tambahan adalah untuk ibu dan ibu mertuanya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh sesi solekan.

Nurhidayah turut mendakwa bahawa dia sudah mengingatkan personaliti yang memiliki lebih 119,000 pengikut di laman Instagram itu berulang kali agar membuat pengesahan tempahan yang muktamad sebelum majlis tersebut berlangsung.

“Apabila majlis semakin hampir, dia seperti tidak ‘confirm’ untuk solekan sesi fotografi selepas perkahwinan. Bila sudah di sana, dia menggunakan alasan mata (sakit) untuk tidak meneruskan solekan ‘post-wedding’.

“Kalau dia tidak jadi ambil sesi solekan ‘post-wedding’, saya akan mengalami kerugian biarpun dia dakwa dia sudah tempah saya untuk berada di sana bermula 9 hingga 11 Mac,” kata ibu kepada seorang anak lelaki itu.

 

Bagi dakwaan tuntutan parkir sebanyak RM350 yang dikatakan melampau itu pula, Noorhidayah menjelaskan bahawa Kiera sudah bersetuju dengan nilai tersebut dan tidak memintanya untuk mengemukakan resit sejak awal mereka berurusan.

Menurut jurusolek itu, nilai tuntutan yang dikemukakan adalah termasuk kos perjalanan pergi dan balik dari Ampang ke KLIA2, caj tol serta parkir bagi tiga hari dua malam.

“Memandangkan kes ini diambil serius dan pihak Kiera ingin membawanya ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan makhamah serta ada menyatakan kepada saya kos yang harus saya hadapi, maka saya sudah pun membuat laporan polis dan telah mendapatkan nasihat guaman.

“Saya juga dinasihatkan agar segala bukti disimpan dan tidak mendedahkannya kepada awam,” katanya yang turut mendakwa pelanggannya itu kerap memuat naik kenyataan yang bercanggah dengan situasi sebenar ke laman Instagram sebelum ini. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.