Ancaman Punish A Muslim Day: Rakyat Malaysia Di AS, UK Diminta Berhati-hati

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengingatkan semua rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) supaya terus berhati-hati berikutan ancaman ‘Hari Menghukum Umat Islam’ (Punish A Muslim Day) yang menyeru keganasan terhadap umat Islam pada 3 April.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat ancaman ‘jahat dan tidak menyenangkan’ itu dan bersedia untuk mengambil tindakan jika masyarakat Islam diancam.

“Dalam hubungan ini, kami menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya lebih berwaspada di Amerika Syarikat dan United Kingdom dan menggalakkan mereka mendaftarkan diri di Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dengan sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata kerajaan Malaysia mengutuk tindakan beberapa individu dan organisasi yang menanamkan kebencian dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dalam menanganinya.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji pihak berkuasa tempatan masing-masing yang berkenaan atas tumpuan dalam melaksanakan tugas dalam menghadapi ancaman keganasan,” kata Wisma Putra. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.