JPN Kelantan Siasat Pelajar Perempuan Minum Air Ketum – Mahdzir

KUALA KANGSAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sedang menjalankan siasatan berhubung gambar serta video tiga pelajar perempuan sebuah sekolah di Kelantan dipercayai meminum air ketum, yang viral di media sosial, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sekiranya perkara itu benar berlaku tindakan akan diambil ke atas pelajar terbabit kerana mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Saya serahkan perkara ini kepada JPN Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok untuk tindakan selanjutnya kerana ini benda yang salah dari segi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas program sepetang bersama Menteri Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford di sini hari ini.

Video dan gambar tiga pelajar perempuan itu yang dipercayai meminum air ketum mula tersebar dalam aplikasi mesej ringkas WhatsApp dan media sosial Facebook semalam.

Media hari ini melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Supt Mit Emong berkata pihaknya telah mengarahkan siasatan berkaitan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku semalam sekitar pukul 2 petang. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.