Jangan Perlekeh ‘Anak Sarawak’

MIRI: Datuk Seri Najib Razak menempelak Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Anak Sarawak sebagai ‘malas, lembab dan tamak’.

Perdana Menteri berkata jika benar rakyat Sarawak bersikap demikian, tidak mungkin mereka berupaya mengendalikan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya, projek itu yang dikendalikan kontraktor tempatan, berjaya dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus memperlihatkan kerajinan dan kegigihan rakyat negeri ini.

“Sekiranya rakyat Sarawak malas dan tamak, bagaimana mereka menjayakan projek itu,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Ketua Adat dan Ketua Suka Kaum Peringkat Sarawak di sini petang tadi.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain di Semenanjung kerana masyarakatnya mempunyai mentaliti rendah dan pentadbir kedua-dua negeri itu tamak dan mahu meraih wang cepat seperti menjual hasil balak ke luar negara.

Najib berkata, ketika era kepemimpinan Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri itu pernah cuba mengambilalih Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCO).

“Beliau (Dr Mahathir) pernah berhasrat mengambilalih SESCO dulu dan menguasai kepentingan Empangan Hidroelektrik Bakun untuk Kerajaan Pusat.

“Tetapi, saya tidak ambil SESCO dan menyerahkan semula Empangan Hidroelektrik Bakun kepada kerajaan negeri kerana menyedari kepentingannya terhadap pembangunan negeri dan sosio-ekonomi rakyatnya,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mempertikaikan cadangan pembangkang dalam usaha memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ini bukan soal GST, sebaliknya bagaimana kita menguruskan wang berkenaan dan dikembalikan kepada rakyat dan mengukuhkan mata wang ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, manifesto BN untuk PRU-14 yang akan dilancarkan pada Sabtu ini akan turut memberi tumpuan khusus kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Katanya, manifesto itu akan membuktikan komitmen BN untuk meneruskan agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Manifesto BN yang akan dilancarkan pada 7 April ini ada beberapa perkara khusus untuk Sarawak dan Sabah,” katanya.

Najib turut menyatakan keyakinan BN Sarawak untuk merampas kembali kerusi Parlimen Miri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Parlimen Miri sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN, malah kita meminta rakyat, khususnya pengundi di kawasan itu untuk membantu misi menawan semula kerusi berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.