Polis Tahan Tiga ‘Superman’

TANJUNG MALIM: Polis menahan tiga daripada sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘superman’ di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini selepas aksi berbahaya mereka itu viral di laman sosial.

Aksi meniarap di atas motosikal dengan kedua-dua kaki lurus ke belakang yang dipercayai dilakukan jam 1.15 petang Ahad lalu itu diviralkan pemilik Facebook (FB) menggunakan nama Syahril A Kadir.

Dalam status di FB itu, Syahril memuat naik gambar berserta status ‘Mereka rasa mereka terlalu hebat. Mereka rasa mereka adalah Raja Lebuhraya. Mereka rasa malaikat maut masih jauh jaraknya dari mencabut nyawa mereka.

‘Mereka rasa mereka kebal dari undang-undang. Mereka tak hirau langsung nyawa pengguna jalan raya yang lain. Yang mereka tahu semua orang mesti hormat dan takut sama mereka. JOM VIRALKAN’.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata ketiga-tiga lelaki berusia 21 hingga 24 tahun itu ditahan oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang jam 2 petang kelmarin di tiga lokasi berbeza di negeri itu.

Katanya, anggota JSPT IPK Pulau Pinang yang menerima maklumat mengenai tindakan kumpulan itu melalui FB milik Syahril A Kadir kemudiannya dapat mengesan suspek berpandukan nombor pendaftaran motosikal digunakan.

Menurutnya, polis kemudian melakukan serbuan di tiga lokasi berbeza di Bukit Mertajam dan menahan ketiga-tiga suspek.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah sebelum kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 mengaku terbabit dalam gambar yang viral itu.

“Kami turut merampas beberapa barang kes antaranya tiga topi keledar berwarna biru dan putih, tiga jaket lengan panjang berwarna kelabu dan merah, tiga jeans biru, tiga kunci motosikal dan tiga pasang kasut,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Wan Kamarul Azran berkata, perintah reman sudah dikeluarkan Mahkamah Majistret Slim River selama empat hari bermula semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, polis juga sedang menjalankan operasi bagi mengesan suspek lain yang terbabit dan meminta pemilik FB untuk tampil membantu siasatan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.