Raja Salman Ulangi Sokongan Terhadap Palestin

RIYADH: Raja Salman mengulangi sokongan Arab Saudi terhadap pembentukan sebuah negara Palestin selepas anak lelakinya dan pewaris berkata Israel berhak untuk tinggal secara aman di tanah airnya, kenyataan jarang dikeluarkan seorang pemimpin Arab.

Raja Salman turut menegaskan, perlunya proses damai lanjut dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump malam Isnin lalu, dibuat selepas tentera Israel membunuh 16 penduduk Palestin minggu lalu ketika bantahan di sepanjang sempadan Israel-Gaza. Angka maut itu meningkat 17 orang semalam.

“Kerajaan pentadbiran diraja mengesahkan pendirian teguh terhadap isu Palestin dan hak sah rakyat Palestin kepada sebuah negara bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya,” kata Raja Salman dipetik agensi berita SPA semalam.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, memuji Raja Salman dan mengucapkan terima kasih atas sokongan beliau.

“Presiden Abbas melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan terhadap rakyat Palestin, isu diperjuangkan Palestin dan Baitulmaqdis serta tapak sucinya,” menurut kenyataan diterbitkan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Abbas juga memuji Arab Saudi kerana terus menyokong hak rakyat Palestin menubuhkan sebuah negara bebas dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.