Ashraf Muslim Berkorban Demi Misi Amal

KUALA LUMPUR: Kali pertama menyertai aktiviti kemanusiaan di luar negara, pelbagai perasaan menyelubungi pelakon, Ashraf Muslim, terutama apabila terpaksa meninggalkan keluarga lebih seminggu.

Bakal ke Bosnia menjayakan kempen Projek Squad Celebrity Global Volunteers bermula 19 April ini, Ashraf mengakui, pada mulanya dia agak keberatan untuk berjauhan dengan keluarganya.

Namun, demi semangat untuk mengumpul dana membantu umat Islam di sana, semua perasaan itu diketepikan.

“Kami ke sana untuk menjalani rakaman bagi menggalakkan orang ramai supaya turut sama menghulurkan bantuan. Tanggungjawab itu agak besar kerana kami mempunyai sasaran yang perlu dicapai.

“Jika saya tidak kuat, bagaimana saya mahu meneruskan misi ini,” katanya.

Projek itu direalisasikan dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Pertubuhan Ukhwah 4 Ummah (U4U).

Ashraf yang bakal muncul dalam drama Geng Tadarus berkata, misi selama lapan hari itu turut disertai Diana Amir dan Farah Lee.

“Saya sudah terbiasa dengan pelbagai kerja amal, tetapi belum pernah mengembara sejauh ini. Apabila sudah ada peluang membantu masyarakat luar, sukar untuk saya lepaskan.

“Tidak tahu bagaimana perasaan saya apabila tiba di sana nanti. Apa yang saya tahu, di Bosnia ramai ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan kesan daripada peperangan.

“Mereka hidup dalam tekanan dan tidak bekerja. Justeru, saya perlu kuat kerana saya membawa misi besar untuk memastikan usaha ini berjaya,” katanya.

Selain Bosnia, IRM dan U4U turut mengumpul selebriti bagi menjayakan tiga lagi misi di Malawi (Afrika Timur), India dan Filipina membabitkan Irma Hasmie, Lufya Omar, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman dan Lah Ahmad.

Orang ramai yang berminat menyertai kempen ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang: www.ukhwahforummah.org atau www. islamic-relief.org.my. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.