Lebih 7 Juta Permohonan BR1M Lulus Dengan Peruntukan RM6.12 Bilion

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,084,726 permohonan bagi mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 diluluskan sehingga 31 Mac lalu dengan jumlah peruntukan RM6.12 bilion.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, ia merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,705,853 penerima isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, dan bantuan RM900 kepada 324,973 penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 dan RM4,000.

Ia turut melibatkan bantuan RM450 kepada 3,053,900 penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Bagi pemohon yang gagal, rayuan dan penghantaran dokumen sokongan boleh dibuat mulai 2 April hingga 31 Mei di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk Pusat Khidmat Hasil (PKH) serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) terdekat, kata kenyataan itu.

Pemohon juga boleh menghantar permohonan secara pos ke Peti Surat BR1M, GPO Shah Alam bersama dokumen sokongan berkaitan seperti penyata gaji dan salinan kad pengenalan pasangan atau tanggungan terkini.

Pertanyaan boleh diajukan di talian bebas tol 1800-88-2716 atau menghantar e-mel kepada br1m@treasury.gov.my. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.